Blogger Templates

Saturday, May 28, 2011

Aku Bukan Perempuan Itu.


Aku seorang perempuan. Perempuan yang hidup dalam arus dunia moden. Penuh tipu daya andai tersilap langkah.. MERANA..


Aku perempuan yang benci akan penyakit cintakan dunia. Aku perempuan yang mahu cinta Allah meresapi seluruh jiwa! Tenggelam dalam cinta-Nya. Sungguh mengasyikkan.
Aku seorang wanita yang mahu tetap teguh pendirian. Halangilah jalanku ke arah reda-Nya, pasti akan kutempuh jua.
Aku perempuan yang bukan begitu mudah untuk patah semangat.. Aku perempuan yang tidak takut dengan helah palsu kerana aku punya Dia! Kebenaran pasti tertegak!
Hasbee Rabbee. Maa fee qalbee ghairullah.
Cukuplah Allah bagiku. Tiada dalam hatiku selain Allah.
Tatkala perempuan lain megah memaparkan gambar di Facebook. Aku mengatakan. Itu bukan aku.
Kerana aku perempuan yang punya maruah. Allah menganugerahkan kecantikan dan kelebihan tersendiri pada tiap-tiap insan bernama wanita.
Oh, bukan untuk dijadikan bahan jajaan mata lelaki bernafsu. Tetapi, khazanah yang perlu disimpan hingga waktunya tiba. Hanya buat suamiku. Aku tidak akan sesekali menghampakan dia.
Aku bangga memperjuangkan pakaian sunnah. Aku bangga mengenakan busana yang menepati kehendak Allah. Aku bangga menutup keseluruhan auratku daripada menjadi panahan mata lelaki. Biar mereka memandang serong.
Tidak pernah tergugat usahaku dalam mendamba reda-Nya. Sedikitpun aku tidak peduli pandangan manusia. Ya, mengapa harus peduli sedangkan Dia adalah Pencipta?
Aku langsung tidak ingin kelihatan cantik di mata ribuan lelaki. Aku langsung tidak ingin menjadi rebutan jejaka kacak atas mata yang hanya memandang kecantikan. Aku langsung tidak ingin sang pria menaruh hati dan harapan kepadaku kerana rupa.
Aku tidak mahu menjadi fitnah bagi mereka. Aku tidak mahu mereka sibuk memikirkan aku melebihi Al-Khaliq Sang Pencipta. Kerana aku tidak tahu alasan apa yang harus ku utarakan saat Dia bertanya kelak.
Malah apabila aku menjadi punca dua jejaka bermasam muka dan bergaduh, aku terasa begitu hina! Seolah-olah aku hanyalah barang yang bisa dibeli begitu sahaja. Aku punya maruah. Aku bukan barang jajaan yang mudah dilihat, disentuh, diusik, direbut sesuka hati! Kerana aku hanya khusus buat dia.
Kerana aku sentiasa merasakan dia ada di sisi walaupun pada mata kasarnya dia tiada menemani. Hanya keyakinan aku sandarkan pada-Nya dalam sebuah penantian. Itu sahaja sudah cukup. Cukup buat aku bahagia dengan dia, takdirku kelak.
Malah aku malu membiarkan seorang lelaki ajnabi berjalan di belakangku lantaran fitnah yang mungkin timbul. Mengingatkanku kepada apa yang dikatakan oleh Saidina Umar radhiallahu 'anhu, "Aku lebih rela berjalan di belakang seekor singa daripada berjalan di belakang seorang wanita."
Aku mahu menjadi perempuan yang sukar. Sukar didekati. Sukar dipermainkan hatinya. Sukar tunduk kepada kehendak nafsu. Sukar mengatakan ya kepada pergaulan yang tiada batasan syarak.
Sukar untuk merasa tenang apabila melihat anak bangsa semakin rosak. Sukar membuang perasaan malu terhadap ajnabi. Aku mahu jadi perempuan yang sukar itu. Aku mahu menjadi sebaik-baik wanita yang tidak memandang dan tidak dipandang. Seperti pesanan Saidatina Aisyah radhiallahu 'anha. Ini baru aku.
Tatkala perempuan lain sibuk memikirkan cinta manusia. Aku mengatakan. Itu bukan aku.
Kerana aku perempuan yang punya matlamat. Aku punya agama yang mesti aku perjuangkan. Lihat! Cubalah lihat di luar sana! Sedih! Aku sayangkan wanita di luar sana! Anak-anak remaja perempuan yang berpakaian mendedahkan aurat.
Sedih! Aku sayang mereka! Wanita yang asyik memikirkan kapan bila mahu bertemu pacarnya.Sedih! Aku sayang mereka! Perempuan yang membonceng motosikal lelaki dan dijadikan hadiah pertaruhan lumba haram. Sedih! Aku sayang mereka! Wanita yang telah dinodai kehormatannya dengan rela!
Sememangnya aku perempuan, aku juga punya rasa. Menyayangi dan disayangi. Namun aku tidak akan begitu mudah tertipu. Kerana aku tidak begitu bodoh untuk menghabiskan masa dengan memikirkan perkara yang tidak pasti.
Hanya angan-angan sementara. Aku bukan perempuan yang menghabiskan masanya sering memikirkan masalah sendiri dan tidak memikirkan kudis yang semakin membusuk pada umat! Aku tidak mahu menjadi perempuan yang mementingkan diri sendiri.
Tatkala perempuan lain sibuk menunggu dan membalas SMS cinta. Aku mengatakan. Aku bukan begitu.
Kerana aku perempuan yang punya hala tuju. Aku tidak akan membazirkan masa mudaku untuk perkara yang langsung tidak bermanfaat untuk akhirat! Hanya keseronokan sementara. Hanya mengenyangkan nafsu.
Oh, aku bukan begitu. Kerana aku mahu sibuk menelaah ilmu. Menggali ilmu Fardu Ain dan juga yang berkaitan dengan hukum syarak. Menjadi seorang wanita yang beramal dengan ilmunya.
Mencontohi Saidatina Aisyah a.s yang cukup cerdas dan cerdik dalam mengeluarkan fatwa. Sehingga menjadi antara rujukan dalam urusan berkaitan hal ehwal masyarakat dan hukum hakam. Itu semua berdasarkan ilmunya.
Sehingga membawa aku untuk berfikir sejenak. Alangkah bodohnya diri andai melayan cinta palsu yang berlandaskan nafsu sedangkan terlalu banyak ilmu yang belum aku teroka.
Aku tidak suka melayan perasaan yang sia-sia sedangkan 'dia' telah ditakdirkan buatku. Aku mahu menjadi perempuan yang matang dengan ilmunya. Dengan ilmunya makin terasa manis akan ibadat. Makin terasa semakin dekat dan erat dalam dakapan kasih Allah. Dengan ilmu yang mewujudkan perasaan khauf, takutkan Allah.
Tatkala perempuan lain ada yang materialistik terhadap wang. Aku mengatakan. Aku bukan begitu.
Kerana aku perempuan yang materialistik terhadap pahala. Mahu akaun akhirat kaya dengan amal soleh. Setiap detik bagiku amat berharga untuk aku lakukan sesuatu yang dipandang oleh-Nya. Kerana aku mahu menjadi wanita syurga! Itu bukan sekadar madah penyedap kata. Bukan sekadar omong kosong. Ini cita-cita tertinggi aku.
Kerana aku perempuan yang berfikiran jauh. Berpandangan jauh ke hadapan. Aku benar mahu cinta-Nya. Terkadang aku terfikir. Andai aku di tempat Masyitah yang dipaksa terjun ke dalam minyak panas semata-mata untuk mempertahankan keimanan, apakah aku kuat sepertinya? Atau mungkin aku akan lari atau mungkin aku akan... entah. Aku menangis...
Aku mahu seperti Rabi'ah al-Adawiyah. Cintanya terhadap Kekasih Agung begitu mengagumkan. Sehingga dengan ujian dia merasa gembira. Benar reda dan tidak merungut walaupun ditimpa musibah. Diculik dan menjadi hamba kepada raja yang zalim.
Apakah aku mampu seperti sufi wanita ini. Yang memperkenalkan apa itu falsafah Cinta Ilahi sehingga tiada cinta manusia di hatinya kerana cintanya yang terlalu mendalam terhadap Yang Satu. Tetapi aku... Aku menangis lagi..
Aku menangis.. Menangis.. Menangis.. Namun, tangisan ini membuatkan aku kembali kuat. Menyedarkan aku daripada lamunan. Kerana aku bukan perempuan yang mudah menyerah kalah! Allahuakbar! Aku tidak kenal erti jatuh yang tidak bangun. Aku bukan perempuan yang begitu. Lembik. Lemah!
Aku bukan perempuan lembik yang lemah. Mengada-ngada. Tidak mampu untuk hidup berdikari dan yang hanya bergantung kepada orang lain. Aku bukan perempuan yang penakut dan pengecut! Aku bukan perempuan yang mudah kalah terhadap cabaran!
Aku mahu menjadi perempuan yang lembut. Yang mempunyai hati yang kuat. Yang tidak lari daripada cabaran dunia tetapi menghadapinya dengan berani. Dengan bersandarkan keyakinan Dia sentiasa di sisi, aku tidak akan takut menegakkan kebenaran. Mempunyai hati yang bisa dilentur namun tak mudah untuk dipatahkan. Aku perempuan yang mampu berpijak atas kaki sendiri.
Akan ku kesat air mata ini dengan semangat baru. Semangat yang lahir dari kekuatan yang dihembus-Nya. Aku tidak akan begitu mudah menurut kata nafsu. Aku perempuan yang ditarbiyah. Mampu mempertahankan maruah sendiri daripada tergadai oleh godaan duniawi. Aku ada Dia. Cukup.
Aku tidak mahu neraka. Aku mengatakan. Itu bukan aku. Kerana aku perempuan yang mahukan syurga.
"Barang siapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia akan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan itulah kemenangan yang agung."
[An-Nisa', 4 : 13]
"Harta yang paling berharga di dunia adalah wanita yang solehah."



Thursday, May 5, 2011

~..~ UKHTY CANTIK ENGKAU ADALAH AURAT ~..~

Assalamu'alaikum Warohmatullohi Wabarokatuh..

BISMILLAHIRROHMANIRROHIM..

Dikatakan dalam hadits Rasulullah saw, bahwa wanita adalah aurat. Maka aurat itu wajib ditutupi. Semua tidak akan terealisasi jika penampilannya selalu memamerkan aurat, yang senantiasa menebar pesona keindahannya. Keindahan bentuk tubuh yang memikat, yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT kepadamu, misalnya paras cantik menawan dan memikat hati bagi siapapun yang melihatmu sampai mengundang decak kagum. Ingatlah! Semua itu akan ditelan usia. Wajah cantik akan keriput dimakan usia, kemudian mati dan jadi santapan cacing-cacing tanah dalam kuburnya.

Kecantikan fisik bukanlah menjadi jaminan keimananmu seseorang, lebih-lebih kecantikan itu bisa direkayasa.

Dari dalam hati akan muncul kecantikan yang hakiki. Dari dalam hati pula munculnya keimanan. Karena baik buruknya seseorang tergantung dari hatimu. “sesungguhnya, didalam tubuh terdapat segumpal daging, yang apabila ia baik, maka baik pula seluruh tubuhnya, dan apabila ia rusak, maka rusak pulalah seluruh tubuhnya. Ketahuilah, itulah hati.” 
(HR. Bukhari Muslim)

Agamamu dapat tampak dari luar, tapi imanmu hanya ada dalam hatimu. Mohonlah kepada Allah SWT untuk melunakkan hatimu dan membimbingmu ke Shirathal Mustaqim, bukan maqdlubi alaihim wallad dlaallin

Ketika mutiara memberi pesona pada wajah yang cantik

Dan meninggikan kecantikannya

Maka engkaulah wajah cantik

Yang memberi pesona pada mutiara

Ia tak menghiasimu

Tapi ia dihiasi oleh kecantikanmu...


Wassalamu'alaikum Warohmatullohi Wabarokatuh



Friday, April 29, 2011

Pelihara Dirimu.

Peliharalah Dirimu, Dirimu Begitu BERHARGA !

Pelihara dirimu,
Wahai mawar berduri.
Dirimu suci,
Seindah perhiasan diberi.
Jangan pula kau cemari diri,
Dek hitam debu duniawi.
Datangnya Islam mengangkat martabatmu,
Terciptanya syariat demi memelihara dirimu,
Sayangi dirimu,
Dan ketahuilah, Allah jua amat kasih padamu.
Oh mawar berduri,
Pelihara peribadi,
Hargai maruah diri,
Dan dirimu akan menjadi penyeri,
Keindahanmu mampu mengatasi segala perhiasan duniawi.
Jangan sesekali kau goncang iman sang lelaki dengan lirik manjamu,
Sebaliknya, kau goncanglah dunia dengan keteguhan imanmu!

Saturday, April 23, 2011

Wanita Yang Istimewa

Kesitimewaan WANITA !




1. Doa wanita lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah S.A.W akan hal tersebut,jawab baginda: "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia."


2. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 orang lelaki yang soleh.


3. Barang siapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah S.W.T dan orang yang takutkan Allah S.W.T akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.


4. Barang siapa yang membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah)lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki.Maka barang siapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail A.S.


5. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah S.A.W) di dalam syurga.


6. Barang siapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya adalah syurga.


7. Daripada Aisyah r.a. "Barang siapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.


8. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.


9. Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.


10. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.


11. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya dan direkannya (serta menjaga sembahyang dan puasanya).


12. Aisyah r.a berkata "Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab baginda,... "Suaminya." "Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah S.A.W...."Ibunya. "


13. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dia kehendaki.


14. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah S.W.T memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).


15. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah S.W.T mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.


16. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah S.W.T mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah S.W.T.


17. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia daripada dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.


18. Apabila telah lahir (anak) lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.


19. Apabila semalaman (ibu) tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah S.W.T memberinya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah S.W.T.

Wanita Yang Indah

Wanita Yang Indah

Menjadi wanita adalah satu anugerah yang tepaling indah. Seharum mana pun wangian kasturi tidak mampu menandingi wangian budi pekertimu, lembutnya gumpalan kapas masih tewas dek kelembutan tingkah mu, halusnya butiran pasir yang menjadi peneman setia si pantai masih tidak dapat menandingi halusnya tuturmu.

Saudara wanitaku, iman mu adalah perisai, agamamu adalah landasanmu disetiap langkah yang kau atur. Jangan sesekali kau biarkan anasir songsang memperkotak katikan iman mu apatah lagi agama yang kau kandung hanya kerana nikmat duniawi semata mata, jangan kau gadaikan maruahmu yang tidak ada galang gantinya hanya kerana mengejar sesuatu yang tidak mungkin bisa kau kendong. Andai kata kau tersungkur, segeralah bangkit dan sekiranya kau tersasar jauh dari landasan hidupmu atur kembali langkahmu bersama titipan iman dan mulakan dengan langkah yang baru. Sedangkan sang jentayu yang kepatahan sayapnya masih bisa hidup bertongkat paruh apatah lagi kau yang dianugerahkan akal fikiran. Jangan bersedih wahai wanita andai apa yang kau ingini tidak kau beroleh di dunia, syurga itu sentiasa menanti mu. Bulatnya iman dan takwa Sumaiyah ketika di hunuskan tombak ditubuhnya, demikian jugalah bulat iman mu harus kepada pencipta-Mu.



Friday, April 15, 2011

Kekasih Buat Kekasih

DARI KEKASIH BUAT KEKASIH

Assalamualaikum
"Dahulukan mengucap salam, ucapkan selamat dengan senyuman, tumpukan perhatian anda kepada mereka agar anda menjadi orang yang sangat mereka cintai dan dekat dengan mereka."
Kekasihku,
Hari ini aku mengadu pada sang KEKASIH, pencipta kau dan aku. Aku ingin menjadi kekasihmu yang patuh pada sang KEKASIH. Aku mohon pada sang KEKASIH agar ditautkan hatiku dan hatimu agar kita bisa jadi sepasang kekasih yang diredhai sang KEKASIH.
Kekasihku sayang,
Aku ingin menjadi sandaran hatimu. Menenangkan tatkala kau kecewa atau terluka tapi aku tidak mahu kau lupa pada sang KEKASIH kerana aku terlalu kasih pada sang KEKASIH. Aku mahu kau menjadi kekasihku yang hebat tanpa melupakan sang KEKASIH.
Wahai kekasihku,
Aku kekasihmu yang akan berdoa saban waktu agar sang KEKASIH memudahkan perjalanan hidupku dan hidupmu. Aku kekasihmu tapi aku tak mampu membahagiakanmu setiap waktu, lalu aku mohon pada sang KEKASIH agar kekasihku bahagia dan dilimpahi cinta sang KEKASIH.
Kekasihku,
Aku tidak mahu kau jadi kekasih yang lemah. Janganlah kita tunduk pada hawa nafsu. Aku mahu jadi kekasih yang bernilai di mata kekasihku agar diredhai sang KEKASIH. Aku menyayangimu duhai kekasihku!
Wahai Kekasih,
Aku kekasihmu yang terlalu daif. Apa yang ada padaku adalah hak milik sang KEKASIH. Aku ingin jadi kekasihmu yang tahu erti syukur dan aku juga mahu kekasihku selalu bersyukur.
Cinta kerana Allah adalah cinta yang aku cari, kerana cinta kerana-Nya adalah CINTA yang diredhai dan jika cinta tanpa redha ibu bapaku, maka tiadalah redha Ilahi dan aku rela untuk memutuskan hubungan cintaku andai mereka tidak redha dengan cintaku kerana aku perlukan cinta yang diredhai kerana kekasihku lah yang bakal bertakhta dihatiku dan menemaniku hingga ke hujung nyawaku.

Sunday, December 19, 2010

Muslimah Sejati

Muslimah Sejati



"Seorang muslimah sejati bukan dilihat dari kecantikan dan keayuan wajahnya semata-mata.Wajahnya hanyalah satu peranan yang amat kecil,tetapi muslimah sejati dilihat dari kecantikan dan ketulusan hatinya yang tersembunyi.Itulah yang terbaik"

"Muslimah sejati juga tidak dilihat dari bentuk tubuh badannya yang mempersona,tetapi dilihat dari sejauh mana ia menutupi bentuk tubuhnya yang mempersona itu.Muslimah sejati bukanlah dilihat dari sebanyak mana kebaikan yang diberikannya ,tetapi dari keikhlasan ketika ia memberikan segala kebaikan itu.Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa indah lantunan suaranya tetapi dilihat dari apa yang sering mulutnya bicarakan.Muslimah sejati bukan dilihat dari keahliannya berbahasa,tetapi dilihat dari bagaimana caranya ia berbicara dan berhujah kebenaran"


Berdasarkan ayat 31, Surah An-Nur, Abdullah Ibnu Abbas dan lain-lainnya berpendapat..

Seseorang wanita islam hanya boleh mendedahkan wajah,dua tapak tangan dan cincinnya di hadapan lelaki yang bukan mahram(As syeikh said hawa di dalam kitabnya Al Asas fit Tasir)
 
“Janganlah perempuan -perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga menghairahkan orang yang ada perasaan dalam hatinya,tetapi ucapkanlah perkataan yang baik-baik”(surah Al Ahzab:32)

"Ketahuilah muslimah sejati bukan dilihat dari keberaniannya dalam berpakaian grand tetapi dilihat dari sejauh mana ia berani mempertahankan kehormatannya melalui apa yang dipakainya.

Muslimah sejati bukan dilihat dari kekhuwatirannya digoda orang di tepi jalanan tetapi dilihat dari kekhuwatirannya dirinyalah yang mengundang orang tergoda.Muslimah sejati bukanlah dilihat dari seberapa banyak dan besarnya ujian yang ia jalani tetapi dilihat dari sejauh mana ia menghadapi ujian itu dengan penuh rasa redha dan kehambaan kepada TUHAN nya,dan ia sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan yang diberi"
 
“Dan ingatlah anakku muslimah sejati bukan dilihat dari sifat mesranya dalam bergaul tetapi dilihat dari sejauh mana ia mampu menjaga kehormatan dirinya dalam bergaul”

“Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu ,puasa di bulan ramadhan ,menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya,maka masuklah ia ke dalam syurga dari pintu-pintu yang ia kehendakinya”(riwayat Al Bazzar)

Saturday, December 18, 2010

PERINGATAN buat Wanita!!!

Iblis laknatullah membisikkan kepada para wanita bahawa apa jua pakaian termasuk hijab tidak ada kaitannya dengan agama, sebaliknya ia hanya sekadar pakaian atau gaya hiasan.

Apabila seorang wanita masih bertahan dengan prinsip hijabnya, maka syaitan beralih dengan strategi yang lebih halus.

Bagaimanakah caranya??

1. Membuka Bahagian Tangan

Kebiasaannya telapak tangan sudah terbuka, maka syaitan membisikkan kepada para wanita agar ada sedikit peningkatan fesyen, iaitu membuka bahagia hasta (siku hingga telapak tangan).

"Ah!Tidak apa-apa, kan masih pakai tudung dan pakai baju panjang."Begitu bisikan syaitan.

Akhirnya si wanita menampakkan tangannya dan ternyata para lelaki melihatnya juga seperti biasa.

Maka syaitan berbisik, "Hah,tak apa-apa kan?"

2. Membuka Leher dan Dada

Setelah menampakkan tangan menjadi kebiasaan, maka datanglah syaitan untuk membisikkan perkara baru lagi.

"Kini buka tangan sudah menjadi lumrah, maka perlu ada peningkatan fesyen yang lebih maju lagi, iaitu terbuka bahagian atas dada kamu, tetapi jangan sebut sebagai pakaian terbuka, hanya sedikit untuk mendapatkan hawa agar tidak panas. Cubalah! Orang pasti tidak akan peduli kerana sebahagian sahaja yang terbuka."

Maka dipakailah pakaian fesyen terbaru yang terbuka bahagian leher dan dadanya dari fesyen setengah lingkaran hingga fesyen berbentuk "V".

3. Berpakaian tapi Telanjang

Syaitan berbisik lagi, "Pakaianmu hanya begitu-begitu saja, cubalah fesyen yang lebih bagus! Banyak kain yang agak tipis, lalu bentuknya dibuat agak ketat biar lebih indah dan cantik dipandang."

Maka tergodalah si wanita. "Mungkin tidak ada masalah, kan potongan pakaiannya masih panjang, hanya bahan dan fesyennya sahaja yang berbeza, agar nampak lebih feminin," begitu syaitan menokok-nambah.

Maka, jadilah mereka wanita yang disebut oleh Nabi s.a.w sebagai kasiyat 'ariyat (berpakaian tapi telanjang).

4. Agak Terbuka Sedikit

Setelah para muslimah mengenakan pakaian yang ketat, maka syaitan datang lagi.

"Pakaian seperti ini membuat susah berjalan atau duduk, kerana sempit, kan lebih baik dibelah hingga lutut atau mendekati peha? Dengan itu kamu lebih selesa."

Lalu dicubalah idea baru itu, dan memang benar dengan dibelah mulai dari bahaian bawah hingga lutut atau mendekati peha ternyata lebih selesa dan mudah untuk duduk atau menaiki kenderaan.

5. Tudung Semakin Kecil

Kini syaitan melangkah dengan tipu daya lain yang lebih "power".

Tujuannya adalah agar para wanita menampakkan bahagian auratnya. "Oh, ada yang terlupa! Kalau kamu pakai baju sedemikian, maka tudung yang besar tidak sepadan lagi. Sekarang kamu cari tudung yang lebih kecil agar serasi dan sepadan. Orang tetap akan menamakannya tudung."

6. Terdedah

Si wanita ternyata selesa dengan fesyen baru yang dipakainya seharian. Syaitan datang memberi idea lagi. "Rambutmu sangat cantik. Bukankah lebih selesa jika tudungmu dilepaskan. Kamu bebas mencuba fesyen rambut yang pelbagai. Malah, kamu boleh mewarnakan mengikut warna yang kamu suka supaya kelihatan lebih menawan."

Maka, sekali lagi syaitan berjaya mempengaruhi si wanita supaya mendedahkan rambutnya.

7. Membuka Seluruh

Syaitan kembali berbisik, "Kalau langkah kakimu masih kurang selesa, maka cubalah kamu cari fesyen yang lebih menarik. Bukankah kini banyak skirt separuh betis dijual di pasaran? Tidak usah terlalu terdedah, hanya kira-kira 10 sentimeter sahaja. Nanti kalau kamu sudah biasa, baru cari fesyen yang di atas paras lutut"

Benar-benar bisikan syaitan telah menjadi penasihat peribadinya.

Maka terbiasalah dia memakai pakaian terdedah.

Terkadang si wanita berfikir, apakah ini tidak bersalahan dengan agama?

Namun bisikan syaitan menyahut, "Ah, jelas tidak bersalahan. Kan sekarang zaman sudah semakin moden. Kamu hanya mengikut arus fesyen masa kini."

"Tetapi, apakah ini tidak menjadi fitnah bagi kaum lelaki?" hati si wanita curiga.

"Fitnah? Ah, kalau kaum lelaki melihat bahagian tubuh wanita yang terbuka, malah senang dan mengatakan ooh atau wow, bukankah ini bererti sudah tidak ada fitnah lagi, kerana sama-sama suka?" syaitan menghasut.

Begitulah sesuatu yang seakan-akan mustahil untuk dilakukan.

Namun syaitan tidak pernah berhenti membisikkan hasutan-hasutan jahat sehingga ke saat kematian seorang anak Adam itu.

Hingga pada suatu ketika nanti akan muncul idea untuk mandi di kolam renang atau di pantai secara terbuka, di mana hanya dua bahagian sahaja yang ditutupi iaitu kemaluan dan buah dada!!!

Ingatlah, syaitan laknatullah hanya pandai menjanjikan kita dengan janji-janji palsu yang halus dan memikat, janji untuk keseronokan dunia, tetapi sebenarnya janji itu palsu dan racun yang mematikan! Nauzubillah...

Friday, November 26, 2010

Kerana Aku Wanita

Kerana Aku Wanita..



kerana aku wanita
pandangan Adam mampu tembus ke dasar hatiku

kerana aku wanita
ingin disayangi itu fitrah diriku

kerana aku wanita
mudah terpikat dengan keindahan akhlak seorang lelaki

kerana aku wanita
emosiku selalu mengatasi logik akalku

kerana aku wanita
air mata teman setiaku

kerana aku wanita
sensitivitiku terhadap sesuatu amat tinggi

DAN..

kerana aku wanita
aku damba pertolongan darimu Adam

peliharalah bicaramu denganku
jangan bermain kata denganku
takut rosak hatiku

kerana aku wanita
akhlakmu ukuran dimataku

peliharalah akhlakmu dan imanmu
jangan kau burukkan darjatmu pada mataku
takut rosak thiqohmu

kerana aku wanita
maka peliharalah susunan kata-katamu

kerana aku mudah terasa
namun aku bukan lemah
sekadar ingin kau tahu hati ini mudah tercalar

kerana aku wanita
peliharalah dirimu dari mencemuhku

saat titisan jernih mengalir dari mataku
kerana itu cara untukku
meluahkan perasaanku
supaya hatiku tenang kembali

kerana aku wanita
aku memang sangat peka

maka fahamilah kecerewetanku ada sebabnya

WAHAI ADAM,

kalau kau sangka berpakaian selekeh itu 'cool',
hakikatnya kau begitu jelek pada pandangan kami.

andai kau rasa 'usha' itu tanda kejantanan,
darjat mu telah jatuh pada pandangan kami

jika kau fikir hidup membelakangkan agama itu kemodenan,

maka tiada lagi hormat untukmu dari kami.

Tuesday, November 16, 2010

Wanita..Agar Dikau Bahagia..

Kepadamu WANITA..Agar Dikau BAHAGIA..

Kepada setiap muslimah yang rela Allah swt sebagai Rabbnya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad sebagai Rasulnya.

Kepada setiap pendidik yang berjihad di jalan Allah dengan untaian kalimahnya, menjaga norma-normanya dan menyucikan jiwanya.

Kepada wanita yang bimbang dan bersedih, berbahagialah dengan dekatnya kemudahan, datangnya pertolongan Allah swt serta janji pahala yang besar dan terhapus segala dosa.

Tidak ada kecantikan bagi seorang wanita, tiada pula keindahan, harga diri dan kedudukan kecuali beriman kepada Allah swt. Apabila dirinya tegak di atas jalan ini, maka dia lah wanita yang mendapat petunjuk, diterima amalnya dan menjadi wanita pilihan disisi Rabb-Nya.

Namun, jika dia melepaskan jalan kebenaran tersebut, kafir terhadap Tuhannya, mengingkari agamanya dan melepaskan tuntutan-Nya, maka dia lah cermin kepada wanita yang murahan, hina dan terbuang.
Pada saat itulah sinar kecantikan seorang wanita mula menghilang, walau berkalung gugusan bintang di langit, meskipun bermahkota bintang gemini dan matahari terbit di keningnya.

Wahai wanita muslimah yang jujur, wahai wanita mu'minah yang selalu kembali kepada Allah.
Jadikanlah dirimu itu seperti sepohon kurma. Jauh dari keburukan, menjulang tinggi menghindar dari sifat mengangau. Dilempar dengan batu dia menjatuhkan buahnya, tetap hijau pada musim panas mahupun dingin dan memberikan manfaat kepada sekalian manusia.

Jadilah engkau orang yang menjauhi perkara-perkara yang rendah, keperibadianmu terjaga dari segala pola hidup yang menipu rasa malu.

Ucapanmu adalah zikir, pandanganmu melahirkan ibrah (pengajaran), diammu adalah berfikir.
 Saat itulah engkau mendapatkan ketenangan dan akan diterima oleh penduduk bumi. Tercurah segala pujian yang baik-baik, doa yang jujur dari semua makhluk, dan Allah swt akan menjauhkanmu dari awan kesempitan, bayang-bayang ketakutan, dan gumpalan kekeruhan.

Tidurlah berbantalkan curahan doa orang-orang mu'min, lalu bangunlah untuk meraih pujian yang ditujukan kepadamu. Saat itulah engkau mula menyedari bahawa kebahagiaan bukan terdapat pada simpanan harta, kad kredit dan kereta, rumah yang bagaikan istana, mahupun pada kasih nya seorang manusia, namun pada ketaatan terhadap Zat Yang Maha Terpuji. Kedamaian hidup bukan pada hiasan keduniaan, bukan pula mengabdi kepada hamba, namun kepada kepatuhan terhadap Zat Yang Maha Mulia.

Pesanku, jadilah seorang wanita yang bermaruah, yang punya kedudukan tinggi di sisi Tuhannya. Di mana namanya sentiasa disebut-sebut dalam kalangan para malaikat, dan yang berjaya memperoleh cinta yang Teragung, iaitu cintanya Ya Rabb lantas menjadi wanita yang paling bahagia di dunia.






Sunday, November 7, 2010

Kesatlah Air Matamu Wahai WANITA!

“Apabila hati terikat dengan Allah, kembalilah wanita dengan asal fitrah kejadiannya, menyejukkan hati dan menjadi perhiasan kepada dunia – si gadis dengan sifat sopan dan malu, anak yang taat kepada ibu bapa, isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya pada suami.”



Bait-bait kata itu aku tatapi dalam-dalam. Penuh penghayatan. Kata-kata yang dinukilkan dalam sebuah majalah yang ku baca. Alangkah indahnya jika aku bisa menjadi perhiasan dunia seperti yang dikatakan itu. Ku bulatkan tekad di hatiku. Aku ingin menjadi seorang gadis yang sopan, anak yang taat kepada ibu bapaku dan aku jua ingin menjadi seorang isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya untuk suami, kerana Allah.


Menjadi seorang isteri…. Kepada insan yang disayangi….. Idaman setiap wanita. Alhamdulillah, kesyukuran aku panjatkan ke hadrat Ilahi atas nikmat yang dikurniakan kepadaku.


Baru petang tadi, aku sah menjadi seorang isteri setelah mengikat tali pertunangan 6 bulan yang lalu. Suamiku, Muhammad Harris, alhamdulillah menepati ciri-ciri seorang muslim yang baik. Aku berazam untuk menjadi isteri yang sebaik mungkin kepadanya.


“Assalamualaikum,” satu suara menyapa pendengaranku membuatkan aku gugup seketika.


“Waalaikumusalam,” jawabku sepatah. Serentak dengan itu, ku lontarkan satu senyuman paling ikhlas dan paling manis untuk suamiku. Dengan perlahan dia melangkah menghampiriku.


“Ain buat apa dalam bilik ni? Puas abang cari Ain dekat luar tadi. Rupanya kat sini buah hati abang ni bersembunyi.”


Aku tersenyum mendengar bicaranya. Terasa panas pipiku ini. Inilah kali pertama aku mendengar ucapan ‘abang’ dari bibirnya.


Dan itulah juga pertama kali dia membahasakan diriku ini sebagai ‘buah hati’ nya. Aku sungguh senang mendengar ucapan itu. Perlahan-lahan ku dongakkan wajahku dan aku memberanikan diri menatap pandangan matanya.


Betapa murninya sinaran cinta yang terpancar dari matanya, betapa indahnya senyumannya, dan betapa bermaknanya renungannya itu. Aku tenggelam dalam renungannya, seolah-olah hanya kami berdua di dunia ini.


Seketika aku tersedar kembali ke alam nyata. “Ain baru je masuk. Nak mandi. Lagipun dah masuk Maghrib kan?” ujarku.


“Ha’ah dah maghrib. Ain mandi dulu. Nanti abang mandi dan kita solat Maghrib sama-sama ye?” Dia tersenyum lagi. Senyum yang menggugah hati kewanitaanku. Alangkah beruntungnya aku memilikimu, suamiku.


Selesai solat Maghrib dan berdoa, dia berpusing mengadapku. Dengan penuh kasih, ku salami dan ku cium tangannya, lama.


Aku ingin dia tahu betapa dalam kasih ini hanya untuknya. Dan aku dapat merasai tangannya yang gagah itu mengusap kepalaku dengan lembut. Dengan perlahan aku menatap wajahnya.


“Abang…..” aku terdiam seketika. Terasa segan menyebut kalimah itu di hadapannya. Tangan kami masih lagi saling berpautan. Seakan tidak mahu dilepaskan. Erat terasa genggamannya.


“Ya sayang…” Ahhh….bicaranya biarpun satu kalimah, amat menyentuh perasaanku.


“Abang… terima kasih atas kesudian abang memilih Ain sebagai isteri biarpun banyak kelemahan Ain. Ain insan yang lemah, masih perlu banyak tunjuk ajar dari abang. Ain harap abang sudi pandu Ain. Sama-sama kita melangkah hidup baru, menuju keredhaan Allah.” Tutur bicaraku ku susun satu persatu.


“Ain, sepatutnya abang yang harus berterima kasih kerana Ain sudi terima abang dalam hidup Ain. Abang sayangkan Ain. Abang juga makhluk yang lemah, banyak kekurangan. Abang harap Ain boleh terima abang seadanya. Kita sama-sama lalui hidup baru demi redhaNya.”


“Insya Allah abang…. Ain sayangkan abang.”


“Abang juga sayangkan Ain. Sayang sepenuh hati abang.”


Dengan telekung yang masih tersarung, aku tenggelam dalam pelukan suamiku.


Hari-hari yang mendatang aku lalui dengan penuh kesyukuran. Suamiku, ternyata seorang yang cukup penyayang dan penyabar. Sebagai wanita aku tidak dapat lari daripada rajuk dan tangis.


Setiap kali aku merajuk apabila dia pulang lewat, dia dengan penuh mesra memujukku, membelaiku. Membuatku rasa bersalah. Tak wajar ku sambut kepulangannya dengan wajah yang mencuka dan dengan tangisan.


Bukankah aku ingin menjadi perhiasan yang menyejukkan hati suami? Sedangkan Khadijah dulu juga selalu ditinggalkan Rasulullah untuk berkhalwat1 di Gua Hira’.


Lalu, ku cium tangannya, ku pohon ampun dan maaf. Ku hadiahkan senyuman untuknya. Katanya senyumku bila aku lepas menangis, cantik!


Ahhh…. dia pandai mengambil hatiku. Aku semakin sayang padanya. Nampaknya hatiku masih belum sepenuhnya terikat dengan Allah. Lantaran itulah aku masih belum mampu menyerahkan seluruh kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya untuk suami.

“Isteri yang paling baik ialah apabila kamu memandangnya, kamu merasa senang, apabila kamu menyuruh, dia taat dan apabila kamu berpergian, dia menjaga maruahnya dan hartamu.”



Aku teringat akan potongan hadis itu. Aku ingin merebut gelaran isteri solehah. Aku ingin segala yang menyenangkan buat suamiku. Tuturku ku lapis dengan sebaik mungkin agar tidak tercalar hatinya dengan perkataanku. Ku hiaskan wajahku hanya untuk tatapannya semata-mata.


Makan minumnya ku jaga dengan sempurna. Biarpun aku jua sibuk lantaran aku juga berkerjaya. Pernah sekali, aku mengalirkan air mata lantaran aku terlalu penat menguruskan rumah tangga apabila kembali dari kerja. Segalanya perlu aku uruskan. Aku terasa seperti dia tidak memahami kepenatanku sedangkan kami sama-sama memerah keringat mencari rezeki.


Namun, aku teringat akan kisah Siti Fatimah, puteri Rasulullah yang menangis kerana terlalu penat menguruskan rumah tangga.


Aku teringat akan besarnya pahala seorang isteri yang menyiapkan segala keperluan suaminya. Hatiku menjadi sejuk sendiri.


Ya Allah, aku lakukan segala ini ikhlas keranaMu. Aku ingin mengejar redha suamiku demi untuk mengejar redhaMu. Berilah aku kekuatan, Ya Allah.


“Ain baik, cantik. Abang sayang Ain.” Ungkapan itu tidak lekang dari bibirnya. Membuatkan aku terasa benar-benar dihargai. Tidak sia-sia pengorbananku selama ini. Betapa bahagianya menjadi isteri yang solehah.


Kehidupan yang ku lalui benar-benar bermakna, apatah lagi dengan kehadiran 2 orang putera dan seorang puteri. Kehadiran mereka melengkapkan kebahagiaanku.


Kami gembira dan bersyukur kepada Allah atas nikmat yang dikurniakan kepada kami.


Namun, pada suatu hari, aku telah dikejutkan dengan permintaannya yang tidak terduga.


“Ain….. Abang ada sesuatu nak cakap dengan Ain.”


“Apa dia abang?” tanyaku kembali. Aku menatap wajahnya dengan penuh kasih. “Ain isteri yang baik. Abang cukup bahagia dengan Ain. Abang bertuah punya Ain sebagai isteri,” bicaranya terhenti setakat itu. Aku tersenyum. Namun benakku dihinggap persoalan. Takkan hanya itu?


“Abang ada masalah ke?” Aku cuba meneka.


“Tidak Ain. Sebenarnya……,” bicaranya terhenti lagi. Menambah kehairanan dan mencambahkan kerisauan di hatiku. Entah apa yang ingin diucapkannya.


“Ain…… Abang….. Abang nak minta izin Ain…… Untuk berkahwin lagi,” ujarnya perlahan namun sudah cukup untuk membuat aku tersentak. Seketika aku kehilangan kata.


“A….. Abang….. nak kahwin lagi?” aku seakan tidak percaya mendengar permintaannya itu. Ku sangka dia telah cukup bahagia dengannku. Aku sangka aku telah memberikan seluruh kegembiraan padanya. Aku sangka hatinya telah dipenuhi dengan limpahan kasih sayangku seorang.


Rupanya aku silap. Kasihku masih kurang. Hatinya masih punya ruang untuk insan selain aku.


Tanpa bicara, dia mengangguk. “Dengan siapa abang?” Aku bertanya. Aku tidak tahu dari mana datang kekuatan untuk tidak mengalirkan air mata. Tapi…. hatiku… hanya Allah yang tahu betapa azab dan pedih hati ini.


“Faizah. Ain kenal dia, kan?”


Ya, aku kenal dengan insan yang bernama Faizah itu. Juniorku di universiti. Rakan satu jemaah. Suamiku aktif dalam jemaah dan aku tahu Faizah juga aktif berjemaah.


Orangnya aku kenali baik budi pekerti, sopan tingkah laku, indah tutur kata dan ayu paras rupa. Tidakku sangka, dalam diam suamiku menaruh hati pada Faizah.


“A…. Abang…… Apa salah Ain abang?” nada suaraku mula bergetar. Aku cuba menahan air mataku daripada gugur. Aku menatap wajah Abang Harris sedalam-dalamnya. Aku cuba mencari masih adakah cintanya untukku.


“Ain tak salah apa-apa sayang. Ain baik. Cukup baik. Abang sayang pada Ain.”


“Tapi….Faizah. Abang juga sayang pada Faizah…. bermakna….. sayang abang tidak sepenuh hati untuk Ain lagi.”


“Ain….. sayang abang pada Ain tidak berubah. Ain cinta pertama abang. Abang rasa ini jalan terbaik. Tugasan dalam jemaah memerlukan abang banyak berurusan dengan Faizah…. Abang tak mahu wujud fitnah antara kami.”


“Lagipun…. abang lelaki Ain. Abang berhak untuk berkahwin lebih dari satu.”


Bicara itu kurasakan amat tajam, mencalar hatiku. Merobek jiwa ragaku. Aku mengasihinya sepenuh hatiku. Ketaatanku padanya tidak pernah luntur. Kasih sayangku padanya tidak pernah pudar. Aku telah cuba memberikan layanan yang terbaik untuknya. Tapi inikah hadiahnya untukku?


Sesungguhnya aku tidak menolak hukum Tuhan. Aku tahu dia berhak. Namun, alangkah pedihnya hatiku ini mendengar ucapan itu terbit dari bibirnya. Bibir insan yang amat ku kasihi.


Malam itu, tidurku berendam air mata. Dalam kesayuan, aku memandang wajah Abang Harris penuh kasih. Nyenyak sekali tidurnya.


Sesekali terdetik dalam hatiku, bagaimana dia mampu melelapkan mata semudah itu setelah hatiku ini digurisnya dengan sembilu.


Tidak fahamkah dia derita hati ini? Tak cukupkah selama ini pengorbananku untuknya? Alangkah peritnya menahan kepedihan ini. Alangkah pedihnya!